MARANG: Pelajar wanita sebuah sekolah menengah di daerah ini cedera parah selepas terperosok di bawah lori membawa muatan tanah selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Jalan Wakaf Tapai – Marang, petang tadi.
Kejadian di Kampung Sentol Patah, di sini, itu berlaku ketika mangsa berusia 18 tahun dikatakan dalam perjalanan pulang dari Kampung Gong Nangka ke rumahnya di Perumahan Awam Kos Rendah Sungai Kerak, di sini, jam 2 petang.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal keluar secara tiba-tiba lalu memasuki laluan lori berkenaan yang datang dari arah Kuala Berang menghala ke Marang.
“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu lori terbabit tidak sempat membrek dan mengelak sebelum melanggar bahagian sisi kiri motosikal mangsa.
“Akibat daripada kejadian itu, mangsa telah terjatuh dan terperosok di bawah tayar hadapan kanan lori berkenaan.
“Kaki kanan mangsa parah dan di bawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk rawatan, manakala pemandu lori berusia 26 tahun dari Kampung Batangan, di sini, tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, akibat kemalangan itu, motosikal mangsa remuk manakala bumper dan tayar hadapan kiri lori terbabit pecah.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Marang, Zulbahry Sulong berkata, pihaknya menggerakkan seramai 11 anggota ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan jam 2.26 petang.
Katanya, mangsa tersepit di bawah tayar lori dan usaha mengeluarkan mangsa dilakukan segera menggunakan peralatan ‘air lifting bag’.”
“Mangsa yang mengalami kecederaan parah pada kaki kanan dibawa ke HSNZ menggunakan ambulans,” katanya.