comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Peniaga maut terkena tayar treler

Sebiji tayar yang tercabut dari lori treler yang menyebabkan seorang peniaga maut di KM 43 Kampung Merang (Berhampiran Shell Merang) di sini. – FOTO: PDRM

SETIU: Seorang peniaga maut, manakala rakannya patah tangan selepas terkena tayar lori yang terpelanting ke arah mereka di Kilometer 43 Kampung Merang berhampiran Shell Merang di sini, petang tadi.

Muhamad Airiel Rizman Mohamad Nazeri, 18, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian dada dalam kejadian kira-kira jam 5.05 petang itu.

Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Afandi Hussin, berkata seorang lagi mangsa, Nik Muhammad Afiq Rizani Mohd Zainani, 22, mengalami patah tangan kanan, luka di bahagian muka dan dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian treler itu dalam perjalanan dari arah Merang ke Kampung Telaga Papan, Setiu di sini.

“Sejurus tiba di lokasi kejadian, sebiji tayar pada bahagian belakang sebelah kiri treler itu secara tiba-tiba tercabut dan terpelanting terkena dua individu yang sedang berniaga di kaki lima jalan.

“Seorang mangsa (Muhamad Airiel Rizman) disahkan meninggal dunia oleh penolong pegawai perubatan di tempat kejadian, manakala seorang lagi dikejarkan ke Hospital Setiu untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Afandi berkata, mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Setiu, manakala pemandu treler berusia 37 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Ketika kejadian keadaan cuaca baik dan permukaan jalan kering. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Loading...
Terkini