comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Pemandu rentung kereta terbabas dan terbakar

Keadaan kereta yang terbakar 100 peratus dalam kejadian awal pagi tadi. – FOTO: Ihsan Bomba

SHAH ALAM: Satu mayat rentung ditemui di tempat duduk pemandu dalam sebuah kenderaan yang terbakar 100 peratus di kilometer 2.0 Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) di sini, awal pagi tadi.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 1.15 pagi berhubung kebakaran kenderaan itu dan tiba di lokasi enam minit kemudian.

“Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah kereta jenis Mazda terbakar 100 peratus.

“Bomba menemui satu mayat rentung tanpa identiti di tempat duduk pemandu, mayat dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim dalam kenyataan, mengesahkan kejadian terbabit.

“Kira-kira jam 1.35 pagi, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima satu laporan berkenaan kemalangan jalan raya kira-kira 150 meter sebelum tol Bukit Jelutong.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila kereta Mazda warna merah tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kiri pengadang jalan dan kemudian terbakar.

“Mangsa yang belum dikenalpasti identiti disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kerana turut terbakar bersama kenderaan yang dipandunya.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat. Siasatan lanjut masih dijalankan untuk mengenal pasti punca dan sebab kematian,” jelasnya.

Susulan itu katanya, polis sedng mengesan saksi di tempat kejadian dan waris mangsa kemalangan.

“Saksi atau orang ramai yang mempunyai maklumat diminta membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat (BSPT) IPD Shah Alam Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.

Loading...
Terkini