ALOR GAJAH: Seorang lelaki maut manakala dua lagi rakannya parah apabila kereta Proton Wira yang dinaiki mereka terbabas di Jalan Pulau Sebang dekat sini, malam tadi.
Mangsa maut yang juga pemandu kenderaan terbabit disyaki memandu dalam keadaan mabuk.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Supritendan Arshad Abu berkata, dalam kejadian jam 10 malam itu, kenderaan yang dinaiki tiga sahabat terbabit dikatakan terbabas sebelum berpusing beberapa kali hingga mengakibatkan remuk.
Katanya, pemandu kereta terbabit, S. Nieranchan, 23, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tampin selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Menurutnya, dua lagi rakan mangsa, R. Suthan, 22, dan G. Senu masing-masing patah kaki dan paha kiri.
Kedua-dua mangsa yang cedera itu ujarnya, kini dirawat di Zon Kuning, hospital sama.
“Hasil siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku apabila kereta Proton Wira dipandu Nieranchan dari Tampin menghala ke Alor Gajah dan apabila sampai di lokasi kejadian, mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.
“Pemandu dan penumpang kereta terbabit yang mengalami kecederaan telah dibawa ke Hospital Tampin untuk mendapatkan rawatan dan pemandu disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Arshad, ketika kejadian, cuaca adalah baik dan keadaan jalan adalah lurus.
Tambahnya, kereta terbabit telah dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) untuk pemeriksaan mekanikal.
Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan1987.