comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Pelajar IKBN maut dalam kemalangan

JITRA: Seorang pelajar Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Perlis maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 25.9 Lebuhraya Utara-Selatan, semalam.

Dalam kejadian jam 6.05 petang itu, mangsa, Muhamad Ridwan Md Roslan, 21, menunggang motosikal seorang diri dalam perjalanan pulang ke Perlis dari rumahnya di Pendang.

Mangsa dipercayai pulang ke kampung sempena cuti hujung minggu dan hendak pulang semula ke IKBN untuk sesi pengajian.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, kemalangan itu membabitkan dua kenderaan iaitu jenis Honda HRV dan Nissan X-trail serta motosikal jenis Honda yang ditunggangi mangsa.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku sewaktu kereta Honda HRV yang dipandu lelaki berusia 59 tahun dari arah pekan Jitra menghala ke Napoh memberi isyarat untuk berhenti di lorong kecemasan untuk mengambil barang di but belakang kereta.

“Namun sewaktu pemandu hendak masuk ke dalam kereta, secara tiba-tiba motosikal yang ditunggangi pelajar terbabit yang berada di lorong lurus di sebelah kiri jalan terlanggar bahagian belakang kanan kereta Honda HRV berkenaan.

“Berikutan itu, penunggang motosikal terbabit terjatuh di atas jalan dan pada masa sama, kenderaan Nissan X-trail yang dipandu lelaki berusia 49 tahun yang sedang bergerak lurus dari Alor Setar menghala ke Bukit Kayu Hitam tidak sempat mengelak lalu melanggar mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rodzi berkata, pelajar terbabit mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua pemandu kenderaan itu tidak mengalami kecederaan.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk tujuan bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sehubungan itu, orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu boleh tampil di balai polis untuk membantu siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini