Oleh Baharuddin Mohamed
ALOR GAJAH: Seorang pekerja pembersihan maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas selepas merempuh belakang sebuah kereta di Jalan Solok Duku, Tanjung Bidara, di sini malam tadi.
Dalam kejadian jam 8.45 malam itu, mangsa, Ahmad Jamil Ibrahim, 47,
meninggal dunia di tempat kejadian selepas cedera parah di kepala, tangan dan kaki.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian, Ahmad Jamil yang menunggang motosikal jenis V16 sedang dalam perjalanan dari arah Tanjung Bidara ke bandar Masjid Tanah.
Beliau berkata, kereta Perodua Bezza yang dipandu seorang pesara polis, Md Najib Isnin, 64, juga dari arah sama.
“Setiba di lokasi kejadian, Ahmad Jamil dipercayai hilang kawalan menyebabkan motosikalnya melanggar bahagian belakang sebelah kiri kereta Perodua Bezza itu.,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Arshad, akibat perlanggaran tersebut, mangsa terbabas di bahu jalan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Mayat mangsa yang berasal dari Rembia di sini ujarnya, dihantar ke Hospital Melaka untuk bedah siasat.
Kata beliau, pemandu kereta terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes berkenaan tambahnya, disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.