KEMAMAN: Sepasang suami isteri maut manakala tiga anaknya cedera ringan selepas kenderaan pelbagai guna, MPV, yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbalik dalam kejadian di kilometer 274, Lebuh Raya Pantai Timur, LPT 2, berhampiran susur keluar Plaza Tol Cheneh di Kemaman, Terengganu, jam 4 petang tadi.
Nahas itu menyebabkan pasangan suami isteri terbabit maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan anggota badan, manakala tiga lagi anak mereka mengalami kecederaan di bahagian kepala dan anggota badan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan mengesahkan mangsa yang maut ialah Arbain Baharudin, 47, dan isterinya Rosmayati Bakar, 48.
Kedua-dua mangsa bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang, Selangor.
Manakala tiga anak mangsa Farah Najwa, 20, Fatin Najla, 10 dan Faikal Nabila ,8, telah dikejarkan ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk menerima rawatan lanjut.
Hanyan berkata, sebelum kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang untuk bercuti ke Kampung Gelugori, Bandar Kerteh.
Setiba di lokasi kejadian, kenderaan jenis Toyota Estima yang dipandu mangsa hilang kawalan dan melanggar besi penghadang jalan sebelum terbalik di tengah laluan lebuhraya.
“Kita percaya kereta dinaiki mangsa telah terbabas ke kiri jalan dan membalas ke kanan jalan, berpusing beberapa kali dan kemudiannya berhenti dan tersangkut di pembahagi jalan, kedua – dua suami isteri telah tercampak keluar dalam lima hingga sepuluh meter dari tempat kejadian,” kata Hanyan.
Tambahnya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Mayat mangsa k telah dibawa ke unit forensik hospital yang sama untuk proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah seksyen 41(1 ) Akta Pengangkutan Jalan, APJ, 1987.