Tumpuan :
Kemalangan

Lelaki maut nahas kemalangan

BAU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan Perodua Kelisa dipandunya terlibat dalam kemalangan jalan raya melibatkan dua kenderaan di Jalan Batu Kitang-Bau.

Ketika kejadian kenderaan dipandu mangsa Ismajulian Julia, 34, yang dipercayai sedang dalam perjalanan dari Bau menuju ke Kuching bertembung dengan sebuah lagi kenderaan Perodua Myvi dinaiki empat lagi mangsa yang dalam pejalanan dari arah Kuching ke Bau.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pertembungan itu mengakibatkan pemandu Perodua Kelisa terbabit tersepit dibahagian pemandu dan mengalami kecerderaan parah.

” Terdapat empat orang mangsa yang cedera di dalam Perodua Myvi, manakala pemandu Perodua Kelisa iaitu seorang lelaki dewasa tersepit di bahagian pemandu kenderaannya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bau yang diarahkan ke lokasi kejadian kemudiannya menggunakan peralatan penyelamatan khas bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan Paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) akibat kecerderaan parah.

Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis untuk tindakan selanjutnya.

“Empat lagi mangsa dari kenderaan Perodua Myvi yang cedera telah diberi rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke Hospital Bau oleh Unit EMRS Bomba,” katanya.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Loading...
Terkini