KOTA MARUDU: Seorang kanak-kanak lelaki lemas manakala rakannya tidak sedarkan diri selepas mandi di parit di Jalan Radu, di sini, hari ini.
Mohammad Azam Masrul Abdullah, 10, disahkan meninggal dunia lokasi kejadian oleh pasukan perubatan dari Hospital Kota Marudu.
Rakannya, kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun tidak sedarkan diri dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah Kota Marudu, Hasbi Hajat, berkata sepasukan bomba dikerah ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 4.49 petang.
Katanya, mangsa pertama berjaya diselamatkan oleh orang awam dan dilaporkan tidak sedarkan diri, seterusnya mangsa dibawa ke hospital oleh orang awan untuk rawatan lanjut.
“Mangsa kedua turut diselamatkan oleh orang awam dan dilaporkan tidak sedarkan diri. Dia sempat diberi bantuan pernafasan kecemasan (CPR) oleh seorang pegawai bomba yang berada di luar waktu penugasan di lokasi kejadian sementara menunggu ketibaan pasukan bomba dan ambulans.
“Bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Kota Marudu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Hasbi berkata, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Operasi ditamatkan pada jam 5.45 petang,” katanya.