KUCHING: Usaha menaikkan kereta yang terjunam ke dalam Sungai Maaw di Jeti Feri Tanjung Kunyit, Sibu, masih belum berhasil apabila kabel kren yang digunakan terputus, lewat petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, berkata keadaan cuaca yang mulai gelap serta air pasang telah menyukarkan pasukan penyelamat melakukan selaman bagi memasang semula kabel pada kenderaan itu.
Justeru, katanya, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) berbincang dengan polis serta keluarga mangsa untuk menangguhkan operasi itu.
“Kabel kren itu terputus ketika usaha menaikkan kereta terbabit dijalankan pada jam 6.20 petang.
“Hasil perbincangan dengan polis serta keluarga mangsa, kerja-kerja menaikkan kereta itu ditangguhkan dan akan disambung semula, pagi esok,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.
Kereta Toyota Camry itu terjunam ke dalam sungai berkenaan kira-kira jam 7 pagi semalam.
Pemandunya, Brayant Magnus Ting Shang, 38, terselamat, manakala seorang lelaki dikenali sebagai Philip Yiin, 61 dan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang belum dikenal pasti identiti, dilaporkan masih hilang.
Kedudukan kereta dalam sungai itu berjaya dikesan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) JBPM pada jam 3.49 petang tadi.