Tumpuan :
Kemalangan

Helikopter Terhempas Babitkan Pasukan Doktor Udara PKD Kinta

Khairy Jamaluddin. (Foto: NSTP)

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Nahas helikopter berhampiran Brinchang, Cameron Highlands tengah hari tadi membabitkan Pasukan Doktor Udara (FDU) Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, semasa kejadian, pasukan berkenaan dalam perjalanan pulang ke Ipoh setelah selesai membuat lawatan berkala ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Kelantan.

“Notifikasi kejadian diterima oleh Hospital Sultanah Hajjah Kalsom (HoSHKA), Cameron Highlands pada jam 1.50 petang daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands.

“Jumlah mangsa yang terlibat adalah seramai enam orang terdiri daripada seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan, seorang Jururawat Kesihatan, seorang Pembantu Kesihatan Awam, seorang Jururawat Masyarakat dan seorang Juruterbang. Semua mangsa adalah selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan Bomba dan Penyelamat selaku pasukan terawal bertindak sampai ke lokasi kejadian dan dalam usaha membawa turun semua mangsa.

Katanya, dua pasukan perubatan kecemasan diketuai seorang pakar perubatan kecemasan juga digerakkan ke tempat kejadian dari HoSHKA.

“Semua mangsa akan dibuat penilaian terlebih dahulu oleh pasukan petugas perubatan di zon rawatan apabila dibawa keluar dari tempat nahas.

“Mangsa yang stabil akan dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, manakala bagi mangsa yang mengalami kecederaan akan distabilkan terlebih dahulu di HoSHKA sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sehingga jam 7 malam, empat mangsa yang mengalami kecederaan telah berjaya dibawa keluar dari tempat nahas ke zon rawatan untuk dilakukan penilaian perubatan.

Dua daripadanya telah dirujuk ke HoSHKA untuk pemeriksaan lanjut dan penilaian semula status kesihatan masing-masing manakala dua lagi masih di zon rawatan.

“Sementara itu dua lagi mangsa sedang dibawa keluar dari tempat nahas ke zon rawatan. Punca helikopter membuat pendaratan kecemasan masih di dalam siasatan.

“Perkembangan terkini kejadian akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Terdahulu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengesahkan berlaku kemalangan udara membabitkan sebuah helikopter jenis Airbus AS 355 F2 dengan nombor pendaftaran 9M-SSW berhampiran Tanah Rata pada jam 1.03 tengah hari tadi.

Helikopter dikendalikan oleh Layang Layang Aerospace Sdn Bhd yang dinaiki enam individu termasuk lima pegawai perubatan itu berlepas dari Kampung Gawin ke Tanjung Rambutan, Perak pada jam 12.20 tengah hari.

Loading...
Terkini