comscore
Tumpuan :
Kemalangan

Bas ekspres terbabas, 20 penumpang selamat

Oleh Baharuddin Mohamed

ALOR GAJAH: Seramai 20 penumpang sebuah bas ekspres melalui detik cemas selepas kenderaan itu terbabas sebelum terbalik di Kilometer 193.2, Lebuhraya Utara-Selatan (arah selatan) berhampiran Alor Gajah, di sini pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.38 pagi tadi sebelum sepasukan pegawai dan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian, kita dapati berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas ekspres yang dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Batu Pahat, Johor telah terbabas di bahu jalan.

“Kesemua 20 mangsa yang terdiri daripada 16 lelaki dan empat perempuan bagaimanapun selamat.

“Kesemua penumpang berjaya keluar daripada bas berkenaan selain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemandu seorang lelaki berusia 29 tahun juga tidak mengalami kecederaan dan operasi berkenaan ditamatkan pada pukul 10.45 pagi.

“Sebanyak dua jentera dan sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 21 anggota,” ujarnya.

Operasi tambahnya, tamat sepenuhnya pada jam 11 pagi.

Loading...
Terkini