Tumpuan :
Kemalangan

Allahyarham Sempat Makan Bersama Bapa Sebelum Maut Kemalangan

PONTIAN: “Rupanya itu kali pertama dan terakhir dia temankan saya makan,” kata Khairol Nizan Mail, 39, bapa kepada Muhammad Dhiyauddin Hazim, 14, yang maut dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 2, Jalan Madirono, Benut, di sini, petang semalam.

Muhammad Dhiyauddin adalah pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Tanjung Benut yang maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta dalam kemalangan itu.

Dia mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta meninggal di lokasi kejadian manakala rakan sekelasnya yang naik motosikal sama, cedera di bahagian tangan dan kaki.

Khairol Nizam berkata dia tidak menyangka perbuatan anak ketiganya itu menemankan makan di rumah di Kampung Parit Madirono itu adalah kali terakhir.

“Kadang-kala saya lewat pulang ke rumah kerana pelbagai urusan hingga jam 1 pagi.

“Seperti biasa saya makan berseorangan di ruang makan. Namun Muhammad Dhiyauddin bangun dan teman saya makan serta melayan dengan mesra. Ini pertama kali dia berbuat demikian dan tidak akan dilupakan.

“Kemalangan berlaku ketika arwah mahu pulang dari sekolah iaitu kira-kira 100 meter lagi sampai ke rumah. Dia anak yang baik, patuh ibu bapa. Saya reda dengan pemergiannya,” katanya dengan nada sedih.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Muhammad Fikri Fahmy Sharun, 22, berkata mangsa seorang yang baik dan sering membantu penduduk kampung.

“Kami bersama rakan lain menganggap dia sebagai generasi contoh kerana selain aktif dalam aktiviti kemasyarakatan turut menyertai aktiviti keagamaan.

“Arwah sering solat berjemaah di surau atau di masjid bersama rakan yang lain,” katanya yang ditemui di Unit Forensik Hospital Pontian, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Muhammad Shofee Tayib, berkata pada kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, motosikal yang ditunggang mangsa bertembung dengan sebuah kereta di lokasi kejadian.

“Hasil siasatan awal, mangsa menunggang motosikal bersama seorang rakan selepas sesi persekolahan dan bertembung dengan kereta.

“Akibat kejadian itu, penunggang mengalami cedera parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal dunia manakala pemboncengnya berusia 14 tahun mengalami cedera di tangan dan kaki. Pemandu kereta berusia 32 tahun turut cedera di kaki, ” katanya.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. -HARIAN METRO

Loading...
Terkini