LUMUT: Tiga maut dalam kejadian dua bot bertembung di perairan Lumut Pangkor, berdekatan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, sebuah bot membawa muatan 17 orang dan seorang tekong dari arah Lumut ke Pulau Pangkor berlanggar dengan sebuah lagi bot membawa dua penumpang dan seorang tekong dari Pulau Pangkor ke Lumut.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata pihaknya bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Manjung serta dibantu TLDM bertindak melakukan misi mencari dan menyelamat mangsa sebaik menerima maklumat jam 9.17 malam.
“Akibat pertembungan itu, 10 penumpang daripada bot dari arah Lumut ke Pulau Pangkor jatuh ke dalam laut dan kemudiannya diselamatkan oleh kedua-dua tekong bot terbabit. Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Angkatan Tentera Laut (HAT) untuk mendapatkan rawatan.
“Pihak HAT memaklumkan tiga mangsa wanita berumur linkungan antara 26 hingga 43 tahun telah meninggal dunia dan dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk dibedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian.
“Seorang lagi wanita berumur 43 tahun sedang menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) manakala 17 orang mangsa lagi dirawat sebagai pesakit luar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Menurutnya, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan orang awam yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Manjung di talian 05-6886222 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.