Tumpuan :
Kemalangan

2 maut seorang parah, Proton Saga rempuh motosikal

KLUANG: Dua maut, seorang parah dalam kemalangan berhampiran sebuah tanah perkuburan di kilometer (KM) 47, Jalan Batu Pahat-Mersing, di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata mangsa yang maut adalah penumpang hadapan Proton Saga, V Prashaanthan, 20, dan penunggang motosikal, T Ravindran, 51 dalam kejadian jam 3.47 pagi.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati Proton Saga dari arah Batu Pahat menghala ke Kluang manakala Honda Wave dari arah bertentangan.

“Sebaik tiba di tempat kejadian iaitu di jalan selekoh, Proton Saga dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan Honda Wave.

“Kereta itu kemudian terbabas melanggar tiang lampu di sebelah kanan jalan dan melanggar penunggang motosikal.

“Akibat dari kemalangan itu, seorang penumpang hadapan Proton Saga dan penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi.

Pemandu Proton Saga, B Nantha Kumar, 30, dikejarkan ke Zon Merah Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), di sini kerana parah di kepala, leher selain patah tulang belakang.

“Penumpang belakang Proton Saga, B Sathis Kumar, 27, pula cedera dikejarkan ke HEBHK untuk rawatan lanjut,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II, Jusoh Mohd Salleh, pihaknya menggunakan kren bagi mengeluarkan penunggang motosikal yang tersepit di bawah kereta.

“Pemandu Proton Saga juga tersepit di tempat duduknya dan Pasukan keluaran operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan khas,” katanya. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini