comscore
Tumpuan :
Kemalangan

2 Maut Motosikal Ditunggang Bertembung Sesama Sendiri

2 motor bertembung sesama sendiri hingga mengakibatkan kedua-duanya maut

Oleh: Ezzuan Ahmad

DUNGUN: Seorang lelaki dan seorang remaja maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung sesama sendiri dalam kejadian di Jalan Batu Putih, berhampiran Kampung Pulau Serai, semalam.

Dalam kejadian kira – kira jam 11.40 malam tadi, lelaki terbabit maut di lokasi kejadian akibat mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala remaja terbabit meninggal dunia ketika dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di hospital akibat mengalami kecederaan yang sama.

Ketua polis daerah Dungun, Superintenden Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kejadian itu.

Superintenden Baharudin berkata, mangsa yang maut ialah Muhammad Ruzie Rosemawi, 27 tahun dan Muhammad Airie Mohd Gaazali, 16 tahun.

“Muhammad Ruzie bekerja sebagai seorang pemandu lori manakala seorang lagi mangsa adalah seorang pelajar di sebuah sekolah menengah berhampiran,” katanya.

Menurut beliau, sebelum kejadian lelaki terbabit dikatakan dalam perjalanan pulang ke kediamannya dari arah Bandar Dungun manakala remaja terbabit datang dari arah bertentangan.

Setiba di lokasi kejadian motosikal jenis Modenas yang ditunggang lelaki terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal milik remaja tersebut.

“Keadaan yang gelap di lokasi kejadian menyebabkan mangsa tidak menyedari kehadiran motosikal remaja itu dan akibat dari pertembungan kuat itu kedua – dua mangsa tercampak ke atas jalan raya,” katanya.

Tanpa disedari pada masa sama, sebuah motosikal yang berada di belakang tidak sempat mengelak sebelum melanggar kedua – dua motosikal mangsa.

Lelaki terbabit disahkan meninggal dunia oleh anggota kesihatan yang tiba tidak lama kemudian.

Kes disiasat di bawah seksyen 41 ( 1 ) akta pengangkutan jalan 1997.

Kedua – dua mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Loading...
Terkini