comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga Thailand mengaku tidak bersalah miliki 280 liter petrol

Lelaki Thailand mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar, di sini, hari ini atas tuduhan memiliki barang kawalan iaitu 280 liter petrol di Bukit Kayu Hitam baru-baru ini. – FOTO: NSTP

ALOR SETAR: Seorang lelaki warga Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tuduhan memiliki barang kawalan iaitu 280 liter petrol di Bukit Kayu Hitam pada 3 Julai lalu.

Tertuduh, Suwit Sake, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan jurubahasa dalam bahasa Thai di hadapan Hakim Jean Sharmila Jesudason.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang berasal dari Dannok, didakwa memiliki barang kawalan berjadual iaitu 280 liter petrol yang ditemukan dalam tangki tambahan bahagian bawah kenderaan bernombor pendaftaran Thailand dipandunya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tepi jalan berhampiran lampu isyarat simpang empat Jalan Laka Temin, berhampiran Masjid Bukit Kayu Hitam, jam 3.50 pagi, 3 Julai.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Mohd Hilmi Abu Hassan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohd Hilmi kemudian meminta mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 dan dua penjamin warga tempatan ke atas tertuduh selain dia perlu melapor diri di Balai Polis Bukit Kayu Hitam setiap bulan sepanjang perbicaraan kes berkenaan berlangsung.

Suwit bagaimanapun meminta jaminan lebih rendah berikutan hanya bekerja sebagai penghantar barang dan isterinya hanya bekerja kilang selain perlu menanggung dua anak berusia enam dan 10 tahun.

Hakim kemudian menetapkan tertuduh dibenar diikat jamin RM10,000 bersama dua penjamin warga tempatan dan perlu melapor diri di mana-mana balai polis di negara ini setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes dan mengarahkan tertuduh melantik peguam.

Terdahulu, media melaporkan, Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sebuah pacuan empat roda berpendaftaran asing yang dilihat dalam keadaan mencurigakan di sekitar Bukit Kayu Hitam.

Pemeriksaan mendapati, kenderaan itu diubah suai dan dipasang tangki bahan api sebelum menemui petrol subsidi dimuatkan ke dalam tangki terbabit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini