comscore
Tumpuan :
Jenayah

Warga Thailand cuba seludup petrol di Tanah Merah ditahan

TANAH MERAH: Pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesan kehadiran warga Thailand yang memasuki daerah ini berulang kali untuk aktiviti penyelewengan petrol.

Hasil risikan pihak berkuasa mendapati penyeludup warga asing terbabit menjadikan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga sebagai laluan keluar masuk mereka.

Tangkapan terbaru dibuat pada jam 4.10 petang semalam ketika pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menjalankan Ops Tiris dan menahan seorang lelaki warga Thailand berusia 24 tahun.

Pengarah KPDN Kelantan, berkata lelaki itu diekori ketika keluar dari sebuah stesen minyak di Tanah Merah sehingga memasuki bangunan pelancongan berhampiran Kompleks ICQS Bukit Bunga.

“Lelaki itu ditahan ketika keluar ke Thailand dan dia memasuki negara ini menggunakan pas lawatan sementara.

“Pemeriksaan mendapati kenderaan suspek mempunyai tangki tambahan yang diubah suai di bawah tempat duduk penumpang disyaki digunakan untuk memuatkan minyak petrol bagi tujuan penyeludupan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azman berkata, hasil soal siasat dibuat, lelaki itu mengaku membuat pembelian dan pengisian minyak sebanyak empat kali di stesen sama pada hari penahanannya semalam.

Katanya, kenderaan jenis Proton Waja yang disita juga didapati mengandungi anggaran 146 liter minyak petrol yang dirancang untuk diseludup memasuki Thailand untuk dijual semula.

“Operasi ini dibuat susulan maklumat risikan mengenai aktiviti penyelewengan oleh warga asing yang menggunakan modus operandi membeli dan mengisi minyak petrol dalam kuantiti besar secara berulang ke dalam tangki diubah suai menggunakan kenderaan berdaftar tempatan.

“Suspek ditahan dan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 atas kesalahan penyelewengan barang kawalan.

“KPDN Kelantan menegaskan penyelewengan barang kawalan termasuk penyeludupan adalah kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan tegas,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini