Tumpuan :
Jenayah

Warga Nepal cuba culik budak direman 4 hari

Warga Nepal menyamar tukang cuci yang cuba menculik seorang kanak-kanak dua tahun direman empat hari.

KUALA LUMPUR: Lelaki warga Nepal yang ditahan kerana cuba menculik budak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya, Rawang, kelmarin, direman empat hari untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, mahkamah membenarkan suspek direman semalam sehingga Sabtu ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek memiliki pasport dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Kita masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Imigresen berhubung status pasport dan PLKS milik suspek sama ada sah atau sebaliknya.

“Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk motif sebenar kejadian ini,” katanya dalam kenyataan ringkas, hari ini.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu penculikan.

Semalam, media melaporkan seorang lelaki warga Nepal menyamar sebagai tukang cuci dan cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya.

Perbuatan suspek digagalkan selepas kejadian disedari penduduk dan menangkapnya sebelum suspek diserah kepada pihak polis.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari, kelmarin ketika kanak-kanak itu sedang bermain di ruang tamu rumah.

Ibu saudara mangsa yang berusia 30 tahun yang turut berada di situ dikatakan sempat menarik mangsa daripada pelukan suspek sebelum lelaki itu melarikan diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini