Tumpuan :
Jenayah

Warga Myanmar maut ditetak sekumpulan lelaki bertopeng

Oleh: Selwam Arjunan

TASEK GELUGOR: Seorang lelaki warga Myanmar maut dipercayai akibat ditetak sekumpulan individu menggunakan parang dalam kejadian di sebuah kedai nasi kandar di Taman Sepadu Jaya di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 38 tahun maut di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada anggota badan serta kepala akibat ditetak dalam kejadian kira-kira 3.20 pagi.

Difahamkan, mangsa yang juga pengurus kedai nasi kandar itu didatangi tiga lelaki bertopeng sebelum bertindak menyerangnya.

Mangsa dikatakan cuba melarikan diri, namun rebah berhampiran kedai akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Unit forensik menjalankan siasatan susulan kejadian seorang lelaki Myanmar maut ditetak dalam kejadian di sebuah kedai nasi kandar di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor.

Difahamkan, kesemua suspek melarikan diri dengan menaiki sebuah kenderaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hopsital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan media berhubung kejadian berkenaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini