JOHOR BAHRU: Seorang warga emas berputih mata apabila hanya mendapat RM4,000 selepas melabur lebih RM500,000 dalam pelaburan mata wang kripto.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata, lelaki berusia 61 tahun itu mendapat tawaran pelaburan daripada kenalan wanita warga asing di laman sosial Facebook pada Jun lalu.
Beliau berkata, kenalan menggunakan nama ‘Sakura Gi Haruko’ itu didakwa menjanjikan pulangan keuntungan 0.8 peratus daripada jumlah modal dilaburkan.
“Mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan, memuat turun dua aplikasi dan melakukan 32 transaksi ke 19 akaun bermula 23 Jun sehingga 17 November lalu, dengan jumlah keseluruhan RM533,000,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Balveer Singh berkata, mangsa hanya menerima keuntungan RM4,000 dalam tempoh itu.
Katanya, mangsa menyedari ditipu apabila diminta membuat bayaran tambahan bagi tujuan pengeluaran keuntungan.
Beliau berkata, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, semalam.
“Kes disiasat di mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Siasatan juga akan meliputi pembabitan keldai akaun jika ada dan tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.