JOHOR BAHRU: Seorang warga emas kerugian RM1,590,800 apabila menjadi mangsa penipuan pelaburan saham tidak wujud secara dalam talian.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki berusia 69 tahun itu mendakwa telah terlihat iklan pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan pada Oktober lepas.
Beliau berkata mangsa yang tertarik dengan iklan itu telah menekan pautan yang diberikan bagi mendapatkan maklumat lanjut.
“Mangsa telah ditawarkan keuntungan hingga 40 peratus daripada jumlah pelaburan yang dibuat dalam masa 10 minit.
“Percaya dengan keuntungan yang dijanjikan, antara November hingga awal Disember lepas mangsa telah membuat pembayaran berjumlah RM1.63 juta ke beberapa akaun bank diarahkan suspek.
“Mangsa juga telah mengikut arahan suspek dengan memuat turun aplikasi dan kemudian mendaftar akaun dalam aplikasi itu bagi memantau pelaburannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata selepas bayaran dibuat, mangsa melihat status pelaburannya melalui aplikasi itu telah mencatat keuntungan, mangsa yang mahu mengeluarkan keuntungan yang diperoleh hanya diberikan wang sebanyak RM44,200 sahaja.
Mangsa katanya, percaya dirinya telah ditipu setelah suspek gagal dihubungi dan akses ke aplikasi sebelum ini telah disekat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda.
“Orang ramai dinasihatkan agar lebih berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan yang menjanjikan pulangan menarik,” katanya.-BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.