Tumpuan :
Jenayah

Warga emas antara 3 lelaki ditahan bantu siasatan 2 kes rogol

Foto hiasan

KUALA SELANGOR: Seorang warga emas antara tiga lelaki tempatan yang ditahan polis bagi membantu siasatan dua kes rogol berasingan di Jeram, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, bagi kes pertama membabitkan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun dirogol bapanya.

“Polis menerima laporan daripada ibu kandung mangsa jam 8.29 malam.

“Siasatan awal mendapati lelaki berusia 33 tahun bercerai dengan isterinya pada Februari 2022. Mangsa tinggal bersama suspek,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Azaharudin berkata, kanak-kanak malang itu dibenarkan tinggal bersama ibunya pada hujung minggu dan cuti sekolah.

Beliau berkata, pada jam 7 malam semalam mangsa memaklumkan kepada pengadu bahawa suspek melakukan hubungan seks dengannya.

“Susulan laporan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor bertindak menahan suspek,” katanya.

Sementara itu, dalam kes kedua pula membabitkan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.

Azaharudin berkata, laporan dibuat datuk saudara mangsa pada jam 7.38 malam selepas remaja perempuan itu mengadu padanya.

“Siasatan awal mendapati dua suspek berusia 66 dan 21 tahun merupakan datuk serta bapa saudara mangsa.

“Mangsa memaklumkan dirogol kedua-dua suspek,” katanya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek juga ditahan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kuala Selangor.

“Kesemua suspek direman selama enam hari bermula hari ini sehingga 7 Februari bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini