![](https://media.buletintv3.my/2025/02/KELUARGA.jpg)
BATU PAHAT: Seorang lelaki warga asing ditemui maut selepas dipercayai ditikam rakan sekerjanya dalam pergaduhan di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindustrian Sri Gading di sini, malam tadi.
Mangsa berusia 30 tahun itu disahkan meninggal dunia di lokasi akibat ditikam tiga kali oleh suspek yang bersenjatakan pisau dalam kejadian jam 11.30 malam.
Sumber berkata, kejadian berlaku ketika mangsa pulang ke asrama penginapan dalam keadaan mabuk sehingga tercetus perselisihan dengan suspek.
Katanya, pada masa sama, berlaku provokasi di antara mangsa dan suspek yang menyebabkan lelaki itu naik berang.
“Mangsa menghempap basikal ke arah suspek hingga berlaku pergelutan. Beberapa rakan sekerja suspek turut campur tangan hingga menyebabkan kekecohan.
“Suspek yang tidak berpuas hati kemudiannya mengambil sebilah pisau lalu menikam belakang kiri mangsa, perut dan pinggang.
“Mangsa parah akibat tikaman itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi akibat kecederaan dialaminya,” katanya.
Susulan kejadian itu, polis menahan lima termasuk suspek utama berusia antara 24 hingga 27 tahun bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, seorang pekerja warga asing berusia 26 tahun ketika ditemui memberitahu, ketika kejadian dia bersama rakan lain berada di asrama penginapan tidak jauh dari lokasi kejadian.
“Saya terdengar bunyi bising lalu keluar melihat apa yang berlaku. Saya nampak seorang lelaki terbaring dengan berlumuran darah.
“Saya tanya apa terjadi, rakan memberitahu ada pekerja kena tikam. Tidak lama kemudian polis tiba di tempat kejadian,” katanya yang enggan mendedahkan namannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Difahamkan, mayat dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematiannya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.