Tumpuan :
Jenayah

Warga asing jadikan kondominium sarang pusat judi dalam talian

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Mungkin kerana potensi keuntungan yang tinggi dan sebagai salah satu cara mudah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa, satu sindiket antarabangsa sanggup berhabis wang sebanyak RM7,000 sebulan menyewa sebuah kondominium mewah bagi dijadikan sebagai pusat operasi perjudian dalam talian.

Taktik itu terbongkar selepas polis menyerbu sebuah kondominium mewah, di Jalan Kia Peng di sini dan menahan tiga lelaki warga asing, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Noor Dellhan Yahaya berkata kesemua suspek usia antara 30 hingga 60 tahun itu ditahan pada 6.30 petang, dalam serbuan yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

“Siasatan awal mendapati sindiket tersebut telah menyewa kondominium mewah berkenaan dengan harga RM7,000 sebulan bagi menjalankan kegiatan judi dalam talian secara haram untuk mengelak daripada dihidu oleh pihak berkuasa.

Mereka menggunakan laman sesawang my.ballysbet.com sebagai platform dengan jumlah minimum pertaruhan ditawarkan adalah sebanyak RM100,000,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Noor Dellhan berkata siasatan awal mendapati dua daripada suspek menggunakan pas lawatan sosial untuk masuk ke negara ini, manakala seorang lagi suspek menggunakan visa rawatan kesihatan.

“Siasatan turut mendapati, seorang daripada suspek mempunyai hubungan dengan sindiket perjudian di luar negara. Dua daripada mereka kini direman sehingga 9 Ogos ini, manakala seorang lagi rakan mereka telah dibebaskan,” katanya.

Noor Dellhan berkata kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Loading...
Terkini