Tumpuan :
Jenayah

Warga asing ditahan, disyaki cuba rasuah penguat kuasa

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan reman seorang warga asing disyaki cuba memberi rasuah kira-kira RM100 kepada seorang anggota penguat kuasa.

Ia dikatakan sebagai balasan tidak mengambil tindakan atas kesalahan tiada lesen memandu.

Perintah reman selama lima hari sehingga 19 Januari 2025 telah dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Shah Alam, Selangor pagi tadi.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 20-an itu telah ditahan dalam satu pemeriksaan oleh anggota polis kira-kira jam 12 tengah hari semalam di sekitar Ijok, Selangor.

“Ketika pemeriksaan itu suspek yang menunggang motosikal tanpa lesen memandu dan cukai jalan yang tamat tempoh telah cuba memberi rasuah kepada anggota peronda yang menahannya.

“Suspek kemudiannya diserahkan pihak polis kepada SPRM untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini