
JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas berusia 78 tahun kerugian RM440,000 selepas terpedaya akibat pelaburan dalam talian yang tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa warga tempatan, yang juga suri rumah mendakwa menerima mesej bermula awal Oktober tahun lalu dan kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan pelaburan.
Menurutnya, mangsa mendaftar sebagai ahli dalam kumpulan tersebut dan diperkenalkan kepada empat individu lain yang mengaku sebagai wakil khidmat pelanggan.
“Mangsa seterusnya diberi tunjuk ajar mengenai kaedah pelaburan untuk membeli saham terbitan awam.
“Mangsa kemudian menerima invois dan diminta membuat pelaburan bagi mendapatkan unit saham yang diinginkan. Antara 11 hingga 25 Oktober tahun lalu, mangsa melakukan tiga transaksi daripada akaun miliknya dengan jumlah keseluruhan RM440,000 ke dalam akaun syarikat pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Raub, setelah pembayaran dibuat mangsa menyedari invois yang diterima adalah palsu dan tidak lagi dapat memgakses kumpulan tersebut untuk meneruskan pelaburan.
“Mangsa membuat laporan polis setelah menyedari dirinya diperdaya. Sumber kewangan mangsa adalah wang simpanan sendiri, pemberian suami dan anak-anak serta adik-beradiknya yang tinggal di luar negara.
“Hasil siasatan awal mendapati akaun bank yang digunakan mempunyai satu rekod penipuan terdahulu. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.