
KAJANG: Seorang wanita warga emas ditemukan maut dipercayai dibunuh suaminya di rumah mereka di Bandar Sungai Long, di sini, semalam.
Kejadian dipercayai berpunca tekanan perasaan dialami suspek berikutan perniagaan diusahakannya selama 25 tahun mengalami masalah kewangan.
Suspek dikatakan turut mengelar pergelangan tangan selepas kejadian itu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof mengesahkan kejadian berdasarkan laporan dibuat anak mangsa jam 5.32 petang semalam.
Mengulas lanjut, katanya mangsa, 63, ditemui terbaring dalam keadaan berlumuran darah di dalam bilik tidur sebelum disahkan meninggal dunia.
Beliau berkata, pisau digunakan dalam kejadian itu turut juga dirampas bersama beberapa barang kes lain bagi membantu siasatan.
“Polis turut menahan suspek, 65, bagi membantu siasatan, manakala mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang dengan bedah siasat dijalankan hari ini mengesahkan punca kematian adalah disebabkan ‘suffocation’ atau sesak nafas,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Naazron berkata, pasangan warga emas itu sudah berkahwin selama 36 tahun dan mempunyai dua anak.
“Suspek dipercayai mengalami tekanan perasaan kerana perniagaannya mengalami masalah kewangan, selain penyakit dialami mangsa.
“Bagaimanapun, punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya.
Suspek kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 27 Februari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.