JOHOR BAHRU: Wanita warga Thailand antara lima ditahan dalam operasi Private party di sebuah kondominum di bandar raya ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi jam 12.30 tengah malam itu dilancarkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik JBS.
Katanya, mereka yang ditahan berusia 17 hingga 32 tahun, terdiri empat lelaki dan seorang wanita kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah.
“Dalam serbuan itu, polis merampas sejumlah dadah disyaki ekstasi, syabu dan ketamin. Hasil siasatan awal mendapati dadah dimiliki semua suspek bagi tujuan untuk berhibur di lokasi berkenaan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati empat suspek positif syabu dan seorang negatif sebarang dadah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Raub, pihaknya merampas 109.55 gram serbuk ekstasi, syabu (4.20 gram), ketamin (0.55 gram) dan pil eramin 5 (0.30 gram).
Selain itu, wang tunai RM4,550 serta beberapa keping mata wang asing, empat utas rantai emas dan sebuah Toyota Vios.
“Dadah yang dijumpai adalah untuk kegunaan peribadi yang diperolehi dari seorang individu yang hanya dikenali melalui aplikasi sembang.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti individu terbabit. Semua suspek direman lima hari sehingga 25 November untuk membantu siasatan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(10(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.