Tumpuan :
Jenayah

Wanita rugi RM50,000, rantai leher disamun di kedai runcit

Foto hiasan

SHAH ALAM: Seorang wanita kerugian kira-kira RM50,000 apabila dua utas rantai lehernya disamun dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Bandar Parklands Klang, petang semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 59 tahun adalah pelanggan kedai runcit terbabit.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata polis terdahulu menerima laporan daripada seorang wanita tempatan yang juga pemilik kedai runcit berusia 28 tahun berhubung kejadian itu.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, seorang lelaki bersenjatakan parang memasuki premis berkenaan dan menuju ke arah mangsa.

“Suspek kemudian bertindak menarik rantai leher wanita itu dan menggugut akan memotong jika mangsa tidak menyerahkan rantai berkenaan.

“Lelaki berkenaan turut menendang mangsa sebelum wanita itu membaling rantai leher yang dipakainya berikutan rasa takut apabila suspek cuba menghampirinya.

“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta jenis Proton X50 warna kelabu dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipandu individu lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua wanita dalam kejadian berkenaan tidak mengalami kecederaan.

“Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan membuka siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Ketika ini, usaha mengesan suspek masih giat dijalankan. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta hadir ke balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini