SEGAMAT: Seorang wanita kerugian lebih RM200,000 akibat terperangkap dengan sindiket ‘love scam’ membabitkan pemberian hadiah berupa wang tunai berjumlah RM4 juta.
Mangsa berusia 41 tahun mengenali suspek pada bulan lalu melalui satu aplikasi di media sosial dengan lelaki itu mengakui warganegara Switzerland yang bekerja sebagai pramugara.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, selepas mengenali suspek hampir seminggu, lelaki itu berjanji untuk memberikan hadiah kepadanya.
Beliau berkata, hadiah dijanjikan wang tunai, barang kemas, telefon bimbit serta kasut yang menyebabkan mangsa tertarik dengan lelaki itu.
“Pada 27 Disember lalu, mangsa dihubungi oleh seorang lagi suspek yang berperanan sebagai ejen penghantaran hadiah yang mana wanita perlu membuat bayaran terlebih dahulu.
“Bayaran yang dikenakan itu termasuk untuk sijil pengubahan wang haram, pakej penghantaran urusan import duti resit pengirim dan juga pakej insurans,” katanya dalam kenyataan.
Ahmad Zamry berkata, mangsa kemudian menuruti arahan itu dengan melakukan 48 transaksi memindahkan wang ke dalam akaun yang diberikan oleh suspek.
Menurutnya lagi, mangsa mula menyedari ditipu selepas tidak menerima hadiah dan wang tunai yang dijanjikan suspek.
“Akibatnya, mangsa kerugian RM217,080 lalu membuat laporan polis kelmarin. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya mengikut perkembangan semasa penipuan seumpama ini melalui media sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sebagai langkah untuk mengelak daripada ditipu.” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.