KUALA TERENGGANU: Seorang peniaga kerugian RM252,150 selepas ditipu sindiket yang menawarkan tender tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Azli Mohd Noor, berkata pada 23 Disember lalu, wanita berusia 47 tahun itu dihubungi suspek yang menawarkan peluang menjadi vendor pembekal jubah konvokesyen dan pakaian seragam untuk sebuah kampus cawangan universiti di negeri ini.
Suspek, seorang wanita, memujuk mangsa untuk berhubung dengan anggota sindiket lain yang kononnya pembekal vendor terdahulu bagi mendapatkan bekalan pakaian tersebut.
“Peniaga itu bersetuju menerima tender tersebut setelah melihat sebut harga yang diberikan dan membuat lima transaksi bayaran ke lima akaun berbeza menggunakan wang syarikat berjumlah RM252,150,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas membuat semakan dengan pihak berkaitan.
— BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.