comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Wanita maut dipercayai dibunuh teman lelaki

IPOH : Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh teman lelaki dalam kejadian di sebuah rumah kedai di Taman Song Choon, di Ipoh, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Yahaya Hassan berkata,  susulan kejadian itu,  seorang lelaki bersama ibunya antara empat suspek ditahan.

Dalam kejadian jam 4.34 pagi, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh menerima maklumat mengenai pergaduhan yang pada mulanya disangkakan pertengkaran antara suami isteri di tingkat atas rumah itu.

Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa berusia 24 tahun yang lengkap berpakaian terbaring di atas katil dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia oleh petugas kesihatan.

Beliau berkata, susulan itu polis menangkap teman lelaki mangsa berusia 23 tahun yang juga suspek utama selepas mengaku memukul wanita itu menggunakan batang penyapu.

Turut ditahan  tiga individu lain termasuk ibu suspek berusia antara 29 hingga 65 tahun yang berada di tempat kejadian.

“Dengan tertangkapnya suspek ini, maka kes bunuh ini berjaya diselesaikan. Pihak siasatan akan melengkapkan siasatan dan merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan,” katanya dalam kenyataan.

Empat telefon bimbit dan batang penyapu yang digunakan suspek turut dirampas.

Menurutnya, kesemua suspek direman  tujuh hari  hingga 1 Julai depan.

Ujar beliau, mangsa tinggal bersama suspek di rumah itu dan dikurniakan bayi lelaki berusia lapan bulan hasil hubungan tanpa ikatan perkahwinan.

Mengenai punca pergaduhan yang membawa kepada kematian wanita itu, Yahaya berkata, ia masih dalam siasatan namun dipercayai kerana suspek di bawah pengaruh dadah.

“Ujian saringan air kencing terhadap keempat-empat suspek mendapati hanya suspek utama iaitu teman lelaki mangsa positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Tiga suspek yang ditahan selain daripada teman lelaki mangsa tidak tinggal bersama namun datang ke lokasi kejadian.

Katanya, ketika ini bayi hasil hubungan mangsa dan suspek diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Loading...
Terkini