ISKANDAR PUTERI: Seorang wanita bukan sahaja kecewa apabila ‘kekasih’ dalam talian yang dikenalinya adalah individu berlainan, malah kerugian wang simpanan RM658,166 terpedaya tawaran kerja sebagai ejen perniagaan kosmetik menerusi pautan di media sosial diperkenalkan suspek.
Wanita tempatan berusia 38 tahun itu membuat laporan polis semalam berhubung kejadian itu, mendakwa berkenalan dan menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki menerusi aplikasi Telegram dan WhatApps.
Dia kemudian ditawarkan untuk menjalankan perniagaan sebagai ejen barangan kosmetik melalui pautan yang diberikan.
Bermula 14 Jun hingga 12 Julai lalu, mangsa membuat 30 transaksi pembayaran, dipercayai sebagai bayaran penghantaran barang kepada pelanggan.
Menjelaskan demikian, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, berkata wanita itu membuat pembayaran berjumlah RM658,166 ke 11 akaun bank yang berlainan dalam tempoh berkenaan.
“Mangsa kemudian membuat panggilan video dan mendapati muka lelaki yang dikenali tidak sama seperti yang dipaparkan di profil aplikasi WhatApps. Berasa tertipu, dia tampil membuat laporan polis.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,”
Dalam satu kenyataan hari ini beliau meminta orang ramai lebih berhati-hati dan tidak menggunakan media sosial sebagai pengantara untuk mencari teman hidup.
“Jumpa secara bersemuka dan selidik latar belakang terlebih dahulu sebelum menjalinkan hubungan cinta,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.