Tumpuan :
Jenayah

Wanita ditikam rakan kakak

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang wanita cedera ditikam di bahagian perut dan beberapa bahagian badan lain selepas terlibat dalam satu pergaduhan di hadapan rumahnya di Batang Kali, dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata kejadian berlaku jam 4.04 petang itu dipercayai berpunca perselisihan faham antara mangsa dan suspek yang merupakan rakan kakaknya.

Dalam kejadian itu, katanya, suspek disyaki menikam mangsa pada bahagian perut menggunakan sebilah pisau berukuran 26.5 sentimeter (cm).

“Mangsa mengalami luka koyakan pada perut, cedera pada bahu, tangan kiri dan tangan kanan, serta bahagian kepala dan dibawa ke Hospital Selayang,” katanya melalui kenyataan.

Ahmad Faizal berkata, susulan kejadian itu, seorang wanita berusia 31 tahun ditahan di sekitar kawasan kejadian bagi membantu siasatan.

Hasil semakan, katanya, suspek tidak mempunyai rekod lampau dan pihaknya akan memohon tahanan reman ke atas wanita itu di Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini