![](https://media.buletintv3.my/2025/02/PUKUL.jpg)
ARAU: Seorang wanita ditahan polis selepas didakwa memukul dan mencederakan anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, di sini, semalam.
Suspek, 37, yang bekerja sebagai pekerja kantin itu ditahan di sekitar Mata Ayer selepas tular satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai dari pasar raya berkenaan yang menunjukkan suspek memukul anaknya sehingga jatuh dan mengenai bucu bangku yang terdapat di hadapan pasar raya itu.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada orang awam berhubung perlakuan wanita berkenaan yang dirakam oleh CCTV berhampiran pasar raya itu yang kemudiannya tular di media sosial sejak semalam.
“Dalam video tular itu memaparkan suspek memukul bahagian belakang kepala seorang kanak-kanak perempuan sehingga terhantuk di bucu bangku dan berdarah.
“Kejadian disyaki telah berlaku di hadapan kaki lima sebuah pasar raya di Jejawi, Arau dan suspek akan di bawa ke mahkamah untuk direman bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, anak mangsa berusia empat tahun mengalami luka di bahagian kening sebelah kanan dan sudah pun menerima rawatan susulan selepas kejadian itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Semalam, tular satu video di media sosial yang memaparkan seorang wanita melempiaskan kemarahannya terhadap seorang kanak-kanak perempuan dipercayai anaknya di hadapan sebuah pasar raya di Jejawi, Arau dengan merentap tangan kanak-kanak malang itu sebelum memukul anaknya.
Tindakan itu menyebabkan anaknya terjatuh dan kepalanya mengalami kecederaan kerana terkena bucu bangku yang berada di hadapan pasar raya itu.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.