comscore
Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Wanita dilanggar, ditikam 15 kali rakan niaga

 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah 

KUALA TERENGGANU: Mayat wanita yang ditemukan dalam longkang di Jalan Batu 23, Kuala Berang-Kuala Terengganu disahkan dibunuh oleh rakannya, jam 4.35 pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan, mayat ditemui oleh pengawal keselamatan.

Mangsa berusia 65 tahun dibunuh oleh rakannya sendiri yang juga rakan kongsi perniagaan, berusia 35 tahun.

Kedua-duanya berasal dari Terengganu.

Suspek bekerja sebagai tukang jahit, manakala mangsa seorang pesara kerajaan, mengusahakan perniagaan baju dalam tempoh beberapa tahun.

Sebelum kejadian, mangsa dan suspek bertemu dan berbincang mengenai hal keuntungan perniagaan baju yang diusahakan mereka di suatu tempat.

Akibat tidak berpuas hati dengan hasil perniagaan dan agihan keuntungan yang diperolehi, mangsa dan suspek bertengkar.

Pertengkaran di antara kedua-dua suspek berlarutan sehingga di dalam kereta.

Ketika tiba di lokasi kejadian, mangsa turun dari kereta dan suspek bertindak melanggar mangsa sebelum mangsa tercampak ke dalam longkang dan kereta yang dipandu suspek terbabas di tepi jalan.

Suspek kemudiannya keluar dari kereta dengan memegang bersama senjata tajam bertindak menikam mangsa sebanyak 15 kali sehingga maut.

“Hasil soal siasat kita telah mendapati bahawa telah berlaku satu pergaduhan antara dua wanita di hadapan bangunan tersebut dan wanita ( mangsa) ini telah dilanggar oleh seorang suspek iaitu kawan suspek yang berada dalam kereta dan suspek telah dipercayai turun dari kereta dan menikam mangsa yang dilanggar itu semasa berada di dalam longkang dan suspek telah melarikan diri.

“Suspek berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 11 pagi,” katanya ketika ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini, hari ini.

Sementara itu, polis menemui senjata yang digunakan suspek yang dibuang berhampiran rumah.

Dalam perkembangan lain, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) bedah siasat kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Polis akan mendapatkan perintah reman ke atas suspek di Mahkamah Kuala Terengganu, esok.

Kes disisat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini