Tumpuan :
Jenayah

Wanita curi duit semasa kenduri kahwin ditahan lagi

TUMPAT: Wanita yang dipercayai terbabit dalam kes mencuri beg tangan mengandungi wang tunai di majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan Pasir Mas, dekat sini ditahan sekali lagi untuk siasatan berhubung laporan yang diterima di Tumpat.

Wanita berusia 61 tahun itu ditahan semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas sebaik tamat tahanan reman selama empat hari sebelum dibawa ke IPD Tumpat.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, turut ditahan adalah seorang lelaki berusia 60-an dipercayai suami wanita berkenaan yang disyaki turut terbabit dengan kes itu.

“Kami menerima laporan berhubung kecurian beg tangan yang mengandungi wang tunai RM3,000 di Kampung Periok, Chabang Empat di sini pada 22 Februari tahun lalu.

“Dalam laporan yang dibuat, pengadu yang juga seorang lelaki berusia 60 tahun mendakwa seorang wanita berpura-pura menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya sebelum menceroboh memasuki bilik tidurnya.

“Wanita terbabit dipercayai mencuri beg tangan milik isteri pengadu yang mengandungi wang tunai berjumlah RM3,000 sebelum beredar meninggalkan kenduri,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Khairi berkata, pihaknya melihat modus operandi yang dilakukan adalah sama seperti kes yang berlaku di Pasir Mas sebelum terus membuat penahanan semula wanita terbabit sebaik selesai remannya di IPD Pasir Mas semalam.

Menurutnya lagi, wanita itu direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 24 Februari untuk siasatan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri dalam bangunan manakala suaminya pula direman selama dua hari.

“Kami menyeru kepada sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu agar menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat Jenayah Sarjan Mejar Norhafeza Jusoh di talian 097257222,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini