comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wanita buat pinjaman dengan tujuh along, menanggung hutang RM600,000

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Gara-gara terlalu percayakan kekasih, seorang wanita menanggung hutang mencecah RM600,000 selepas membuat pelbagai pinjaman daripada banyak pihak termasuk tujuh along.

Menurut mangsa Low, 33, berkata dia berkenalan dengan teman lelakinya itu pada tahun 2017 ketika menghadiri sebuah majlis.

Sejak itu mereka mula menjalin hubungan, sebelum berpisah dua tahun lalu.

“Pada penghujung 2018, dia (bekas kekasih) mengalami masalah kewangan dan meminta saya untuk membuat pinjaman kerana kononnya dirinya sudah disenarai hitamkan oleh institusi kewangan.

“Kerana terlalu percaya, saya hanya mengikut kehendak bekas kekasih ketika itu dan membuat pinjaman kira-kira RM300,000 daripada Shah Alam,” katanya pada sidang media di Pejabat MCA Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Perkhidmatan Awam dan Aduan MCA, Datuk Seri Michael Chong.

Wanita itu mendakwa lelaki berusia 34 tahun itu juga memaksa dia menguruskan perihal perniagaan yang dijalankan bekas kekasihnya itu.

Tidak cukup dengan itu, bekas kekasihnya juga meminta mangsa untuk melayan kerenah pelanggan jika lelaki itu tidak mampu untuk mengendalikan mereka.

“Pada masa sama, saya dapat tahu dia menjalin hubungan dengan wanita lain apabila beberapa orang mangsanya menghubungi saya.

“Mereka mendakwa bekas kekasih saya itu sudah menipu sejumlah wang yang banyak daripada mereka dan meminta saya membayarnya,” katanya.

Low berkata, susulan itu dia mengambil keputusan untuk memutuskan hubungan mereka, namun sehingga kini terpaksa menanggung hutang kerana bekas kekasihnya itu kini sudah tidak dapat dihubungi.

Sementara itu, seorang lagi wanita berusia 33 tahun yang bekerja sebagai kerani mengaku kerugian RM100,000 selepas ditipu lelaki sama selepas berkenalan menerusi aplikasi mencari jodoh pada 2021.

Wanita itu yang hanya ingin dikenali sebagai Mah, mendakwa lelaki terbabit adalah seorang yang pandai berkata-kata manis.

Selain memperdaya wanita, lelaki itu turut dipercayai menipu seorang rakannya sebanyak RM181,400 membabitkan urusan jual beli pelitup muka ketika penularan wabak COVID-19 yang lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini