comscore
Tumpuan :
Jenayah

Wang simpanan pesara lebih RM478,000 lesap akibat pelaburan tidak wujud

Foto hiasan

KUANTAN: Seorang pesara mengalami kerugian lebih RM478,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang diiklankan di media sosial.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pada mulanya lelaki berusia 69 tahun itu telah berminat dengan pelaburan yang ditawarkan menerusi laman Facebook pada Julai lepas.

Beliau berkata mangsa turut diberikan pautan untuk memuat naik sistem pelaburan berkenaan selain suspek telah memberikan latihan menerusi aplikasi WhatsApp serta meyakinkan warga emas itu boleh mendapat keuntungan sehingga 300 peratus daripada jumlah saham yang dilabur.

“Justeru, mangsa telah membuat pemindahan wang simpanannya berjumlah lebih RM478,000 dengan 33 kali transaksi ke empat akaun yang diberikan oleh suspek bermula 10 September sehingga Selasa lepas,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Yahaya berkata mangsa mula curiga apabila wang yang dilabur tidak dapat dikeluarkan dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan semalam dengan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan tinggi.

Katanya masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

 
 
 
Loading...
Terkini