KUCHING: Polis menerima dua laporan penipuan dalam talian di Bintulu dan Kuching membabitkan kerugian RM328,000 Rabu lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata berkata, bagi kes Phone Scam di Bintulu, seorang pesara wanita berusia lewat 50-an menerima panggilan telefon daripada lelaki tidak dikenali mendakwa dari pos laju dan suspek mengatakan terdapat satu barangan kiriman atas nama mangsa mengandungi kad debit milik individu lain pada pertengahan bulan September lalu.
“Mangsa yang menafikan perkara terbabit telah disambungkan kepada ‘Sarjan Ling’ iaitu polis Bukit Aman, suspek mengatakan semakan mendapati nama mangsa terbabit dengan aktiviti pengubahan wang haram dan telah menerima komisyen sebanyak RM300,000.
“Suspek turut menyatakan mangsa boleh membuat rayuan dengan pihak atasan dan memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan, kemudian talian telefon disambungkan kepada seorang lelaki bernama ‘Tuan Chung’,” katanya dalam kenyataan semalam.
Katanya, suspek kemudian meminta mangsa menyenaraikan semua akaun bank yang dimilikinya dan mangsa diarahkan membuka akaun bank baru serta memindahkan kesemua wang miliknya ke dalam akaun tersebut bagi semakan pihak audit bank negara.
“Mangsa kemudian membuka akaun bank baru di sebuah institusi kewangan sebelum memindahkan kesemua wang dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan insurans berjumlah RM170,000 ke akaun tersebut pada penghujung September lalu.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah membuat semakan wang dalam akaun pada Selasa lalu dan mendapati wang berjumlah RM170,000 telah dipindahkan ke tujuh akaun bank atas nama individu tidak dikenali pada bulan September hingga Oktober 2023,” katanya.
Bagi kes tipu tawaran kerja sambilan atas talian di Kuching, katanya, seorang wanita berumur awal 30-an yang merupakan pekerja sebuah pusat rawatan kuku telah tertarik dengan ‘kerja dari rumah’ yang ditawarkan page ‘rock space’ melalui media sosial Facebook pada pertengahan November.
“Menurut mangsa, tawaran kerja itu tidak mengenakan sebarang bayaran sebelum diminta menekan satu pautan untuk meneruskan pekerjaan atas talian iaitu tambah nilai (top up) wang ke akaun-akaun bank tertentu yang akan diberikan perkhidmatan pelanggan.
“Sepanjang urusan melakukan kerja dalam talian, mangsa telah menerima arahan melalui Whatsapp daripada perkhidmatan pelanggan yang meminta dia memindahkan wang keseluruhan berjumlah RM158,000 dari akaun bank miliknya ke sembilan akaun atas nama individu dan syarikat tidak dikenali secara berperingkat pada bulan November 2023,” katanya.
Mancha berkata, mangsa telah menerima komisyen sebanyak RM397.30 hasil kerja dalam talian itu.
“Mangsa hanya menyedari ditipu setelah mendapati wang berjumlah RM158,000 serta keuntungan tidak dapat dikeluarkan dari akaun e-wallet miliknya.
“Malah, suspek turut meminta mangsa membuat bayaran tambahan berjumlah rm50,000 sekiranya ingin menebus wang itu,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.