Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Kes bunuh di Malaysia, kebanyakan mangsa mengenali suspek – Shuhaily

Oleh: Fareez Azman

KUALA LUMPUR: Kebanyakan mangsa kes bunuh berprofil tinggi yang berlaku di negara ini mengenali suspek atau pelaku.

Demikian dedah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dalam Podcast Utama Off-air Buletin TV3 hari ini.

 

Jelasnya, berdasarkan rekod pembunuhan secara rawak amat jarang berlaku di negara ini.

“Kebanyakan mangsa dengan pelaku saling mengenali, random murder ini kurang di Malaysia, dalam konteks ini yang membimbangkan saya nilai nyawa itu.

“Adakah ia juga terpengaruh dalam media sosial yang tidak meletakkan nilai dalam kehidupan,” katanya.

Tambah Mohd Shuhaily, terdapat kajian menunjukkan generasi kini terdedah dengan Gamifikasi menerusi permainan.

“Saya pernah ditanya oleh seorang doktor berhubung pembunuhan beramai-ramai di Amerika Syarikat, dia tanya adakah Datuk pernah terfikir orang yang buat pembunuhan itu terdiri daripada anak muda yang mempunyai senjata.

“Ada bacaan dan kajian saintifik mengatakan mereka ini generasi terdedah dengan gamifikasi yang akhirnya nilai kehidupan itu seperti game (permainan), mati sekali selepas tu seolah-olah ada peluang untuk hidup semula,” katanya.

Mengulas lanjut ujar Mohd Shuhaily, pihaknya juga sedang melihat trend atau pola pemikiran pelaku dalam setiap kes yang berlaku.

Ini bagi menyiasat dan mengkaji lebih mendalam punca tercetusnya tindakan yang diambil mereka sebagai penjenayah.

“Satu soalan hipotetikal yang perlu saya lihat perlu mendalam, saya minta bantuan pakar psikologi untuk lihat.

“Sekiranya itu benar dan ada asas, maka pembunuhan-pembunuhan yang berlaku dikatakan semakin kompleks ini mungkin berlaku atas evolusi pendedahan pemikiran bahan yang ada dalam media sosial.

“Ini dipanggil dalam konteks normalisasi, semalam saya sebut agak membimbangkan kalau kita terus budaya universal ini dijadikan amalan, maka budaya timur tidak lagi relevan dengan masa,” jelasnya lagi.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini