Tumpuan :
Jenayah

[VIDEO] Guna kereta orang meninggal sebagai stor dadah

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Khaw Kok Chin, menunjukkan antara dadah yang dirampas ketika sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik menumpaskan sindiket pengedaran dadah di Sri Satria, Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur. – FOTO: NSTP.

KUALA LUMPUR: Menggunakan kenderaan pemilik yang meninggal dunia dan kenderaan tanpa tukar hak milik sebagai stor menjadi modus operandi sindiket pengedaran dadah untuk mengaburi mata pihak berkuasa daripada ditahan.

Bagaimanapun kegiatan itu tumpas selepas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman melancarkan lima serbuan di Kuala Lumpur dan Johor pada Sabtu lalu dan merampas dadah RM5 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, dalam serbuan pertama, JSJN menahan dua lelaki berusia 45 dan 48 tahun di tempat letak kereta sebuah kondominium di Kuala Lumpur dan merampas dadah syabu seberat 71.26 kilogram (kg) yang ditemui dalam Proton X50 dan Proton Waja.

Menurutnya, seterusnya di lokasi sama, polis menjalankan serbuan kedua dan menahan seorang lelaki sebagai runner yang dipercayai terbabit dengan sindiket dadah.

“Pemeriksaan seterusnya berpandu suspek ketiga pada jam 2 petang, pasukan serbuan pergi ke tempat letak kereta di Kiara East dan menemui dadah syabu seberat 40.69 kg dan ketamin 19.49 kilogramdi dalam Toyota Prado.

“Serbuan keempat dilancarkan pada jam 1.45 tengah hari di sebuah rumah di Kampung Rawang Muar, Johor dan menahan dua lelaki berusia 46 tahun serta seorang wanita warga Thailand yang juga kekasih suspek berusia 42 tahun bersama dadah heroin seberat 138 gram, 30 biji Eramin 5 dan empat biji ekstasi,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Beliau berkata, serbuan terakhir dilakukan di sebuah kondominium di Muar, Johor sebelum menahan lelaki tempatan yang juga ketua sindiket berusia 46 tahun dan kekasihnya warga Thailand berusia 42 tahun serta merampas dadah syabu seberat 19.19 gram dan 30 biji pil Eramin 5.

“Sindiket ini mula aktif sejak awal tahun ini dengan turut menggunakan tokong cina bagi melindungi aktiviti dadah.

“Selain itu, mereka juga menggunakan kondominium mewah serta kenderaan pemilik yang sudah meninggal dunia dan kenderaan tanpa tukar hak milik untuk dijadikan stor dadah,” katanya.

Katanya, kesemua tangkapan direman antara empat hari hingga enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini