Tumpuan :
Jenayah

Upah warga asing ubah suai rumah, pemilik rugi RM200,000

FOTO : NSTP

NIBONG TEBAL: Akibat guna khidmat kontraktor warga asing bagi mengubahsuai kediaman yang baru dibeli, seorang pemilik rumah teres dua tingkat di Jawi, berdepan kerugian kira-kira RM200,000.

Ia selepas Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) yang menjalankan operasi dekat situ mengarahkan kerja-kerja pengubahsuaian rumah berkenaan dihentikan dengan meminta pemilik mencari kontraktor warga tempatan selaras dengan peraturan yang ditetapkan.

Selain rumah terbabit, dua lagi kediaman lain yang sedang diubahsuai turut menerima nasib sama berikutan pelbagai kesalahan dilakukan dengan keseluruhannya sembilan notis dikeluarkan CIDB ketika menjalankan operasi berkenaan bersama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), bermula jam 10 pagi tadi.

Pengarah CIDB negeri, Zahidi Hashim, berkata pihaknya menyarankan pemilik rumah yang ingin menjalankan kerja mengubahsuai kediaman melantik kontraktor berdaftar dengan agensi itu bagi mengelak diri mereka berdepan risiko kerugian.

“Seperti dalam operasi hari ini, kita membuka kertas siasatan selepas mengesan kesalahan antaranya tidak memiliki Perakuan Pendaftaran Kontraktor (PPK), PPK tamat tempoh dan melantik kontraktor warga asing yang ia menyebabkan kerja-kerja pengubahsuaian perlu dihentikan.

“Ini adalah satu kerugian kepada pemilik apabila kerja-kerja mengubahsuai rumah mereka tergendala, terutamanya yang menggunakan khidmat kontraktor warga asing yang ia menyalahi peraturan.

Zahidi berkata, semua notis yang dikeluarkan dalam operasi itu mengikut Seksyen 25(1) Akta Lembaga Industri Pembinaan Malaysia 1994 (Pindaan) 2011.

Mana-mana individu yang melanggar peraturan yang ditetapkan iaitu tetap meneruskan kerja-kerja pengubahsuaian boleh dikenakan kompaun maksimum sehingga RM100,000.

Sehingga kini, terdapat seramai 6,250 kontraktor berdaftar yang aktif di negeri ini. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini