Tumpuan :
Jenayah

Upah RM2,000 sebulan jaga lokasi ‘stok’ dadah

Sebahagian dadah dan barangan yang dirampas dalam serbuan JSJN Perak dan dipamer pada sidang media di IPK Perak. – FOTO NSTP

IPOH: Seorang lelaki diberi tugas mudah iaitu menjaga dan membungkus bekalan dadah disimpan di rumah ‘majikan’ sebelum diedar dengan upah RM2,000 sebulan.

Perkara itu terbongkar selepas suspek ditahan polis dan membawa kepada rampasan lebih 19 kilogram (kg) dadah jenis heroin dan ganja dianggar berniai RM200,400 di sebuah rumah di Jalan St John di sini, pada Khamis lalu.

Operasi dikendalikan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak itu menahan tiga lelaki berusia antara 33 hingga 45 tahun.

Pemangku Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat berkata, dadah dirampas membabitkan 18.992 kg heroin yang dibungkus dalam 42 paket plastik lutsinar dan dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 0.9 6kg.

Katanya, semua dadah itu ditemukan selepas suspek pertama berusia 41 tahun yang ditahan reman bermula 31 Oktober lalu, membawa polis ke rumah berkenaan kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu.

Zulkafli berkata, susulan penemuan dadah itu, dua lagi tangkapan dilakukan membabitkan suspek kedua dan suspek ketiga berusia 33 dan 45 tahun pada 8 November lalu.

Katanya, suspek kedua yang disyaki dalang pengedaran dadah itu, ditangkap di Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab kira-kira jam 1.30 tengah hari manakala suspek ketiga ditangkap kira-kira jam 2 petang hari sama di sebuah rumah di Taman Mas.

“Suspek pertama dianggap pekerja tetap suspek kedua yang digajikan RM2,000 sebulan untuk menjaga rumah milik suspek kedua yang dijadikan stor menyimpan dadah manakala suspek ketiga menerima upah RM200 setiap kali menjalankan pengedaran,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini hari ini.

Zulkafli berkata, ujian air kencing mendapati suspek pertama positif dadah methamphetamine dan mempunyai rekod lampau kesalahan dadah.

Katanya, polis turut menyita dua kereta, sebuah motosikal dan beberapa unit barang kemas dianggar bernilai RM105,680.

Semua suspek direman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini