Tumpuan :
Jenayah

Upah RM200 bawa masuk PATI ke Malaysia

Oleh: Selwam Arjunan

PADANG BESAR: Diberi upah RM200 oleh ejen pemerdagangan manusia untuk membawa masuk setiap pendatang asing tanpa izin (PATI) ke Malaysia.

Bagaimanapun, cubaan tekong warga asing itu gagal apabila polis menahan 21 warganegara asing yang menceroboh sempadan untuk memasuki Malaysia menerusi laluan tikus di Chuping, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Mohd Shokri Abdullah berkata tangkapan dilakukan semasa sepasukan polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) BN 3, Bidor, Perak menjalankan rondaan berkala di laluan keselamatan Malaysia-Thailand lebih kurang 12.15 tengah malam semalam.

Katanya, hasil maklumat yang diperoleh, mereka berjaya mengesan dan menahan 21 pati berusia 19 tahun hingga 49 tahun terdiri daripada 17 lelaki dan 4 wanita warganegara asing yang telah menceroboh masuk melalui pagar keselamatan sempadan Malaysia-Thailand.

“Semasa pemeriksan dibuat ke atas kesemua pati didapati mereka gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah untuk memasuki Malaysia.

“Siasatan awal juga mendapati salah seorang daripada pati tersebut berusia 24 tahun mengaku bertindak sebagai tekong dan pandu arah bagi kumpulan tersebut.

“Tekong berkenaan menerima bayaran upah sebanyak RM200 bagi setiap individu dan mendapat arahan daripada seorang ejen dari negara jiran.

“Tujuan utama kesemua pati masuk ke Malaysia adalah untuk bekerja di beberapa lokasi berlainan di dalam negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kesemua suspek yang ditahan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Besar untuk siasatan lanjut.

Suspek yang dipercayai bertindak sebagai tekong ditahan reman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 sehingga 8 Oktober.

20 warganegara asing yang lain ditahan reman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen sehingga 24 September.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26a Atipsom.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, Jabatan Siasatan Jenayah IPD Padang Besar menahan tiga pati berusia 15 hingga 48 tahun yang cuba memasuki negara tanpa dokumen di Stesen KTM Padang Besar, pada jam 7.15 petang Isnin lepas.

Turut ditahan, seorang warga tempatan berusia 49 tahun yang bertindak sebagai tekong yang membeli tiket keretapi bagi pati terbabit untuk memasuki Malaysia bagi tujuan bekerja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini