Tumpuan :
Jenayah

Untung yang dijanji, sebaliknya rugi lebih RM800,000

Foto hiasan

JOHOR BAHRU: Ahli perniagaan perkhidmatan logistik mengalami kerugian besar sebanyak RM835,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan pelaburan saham menerusi Facebook.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian bermula pada 18 November lalu, selepas mangsa berusia 46 tahun itu tertarik dengan iklan pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan berganda dalam tempoh singkat.

Katanya, mangsa menekan pautan dan disambungkan ke aplikasi WhatsApp, dan berkomunikasi dengan seorang wanita yang mengaku sebagai perunding pelaburan saham.

“Wanita terbabit mengajak mangsa untuk melabur ke dalam pasaran saham dengan menjanjikan keuntungan yang tinggi dalam tempoh singkat.

“Mangsa melakukan 14 transaksi ke dalam tiga akaun bank berbeza antara 14 November hingga 6 Disember lalu, membabitkan jumlah keseluruhan RM835,000.

“Bagaimanapun, mangsa diminta membuat bayaran tambahan untuk mengeluarkan keuntungan pelaburan.

“Mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas usaha mendapatkan semula wang pelaburannya gagal. Siasatan awal mendapati dua daripada tiga akaun bank yang terbabit mempunyai rekod laporan polis berkaitan kes penipuan pelaburan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini