comscore
Tumpuan :
Jenayah

Ugut sebab bela toyol, pekebun dipenjara sebulan

Ahrdi Shamsul dipenjara sebulan selepas ugut mahu membakar rumah jiran.

BATU PAHAT: Dakwaan jirannya membela toyol dan mencuri duit menjadi punca Ahrdi Shamsul Mustaffa dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan jenayah mahu membakar rumah seorang warga emas, semalam.

Tertuduh yang sebelum itu mengaku bersalah, memberitahu sedemikian apabila Majistret Suhaila Shafi’uddin bertanyakan sebab dia bertindak seperti itu terhadap mangsa berusia 84 tahun itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh berusia 51 tahun yang masih bujang serta bekerja sebagai pekebun itu didakwa melakukan ugutan jenayah dan mendatangkan ketakutan ke atas mangsa dengan mengeluarkan perkataan: ‘aku bakar rumah kau, kalau kau tidak ikut aku pergi balai’, di hadapan sebuah rumah di Senggarang kira-kira jam 7 pagi semalam.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip, manakala tertuduh diwakili Normahani Raais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Selepas mendengar rayuan dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara sebulan ke atas tertuduh berkuat kuasa dari tarikh penangkapannya, semalam.

Menurut fakta kes, polis menerima laporan daripada mangsa yang mendakwa telah mendapat ugutan daripada seorang lelaki mahu membakar rumahnya.

Hasil siasatan polis mendapati ketika kejadian, mangsa berada di rumah sebelum didatangi tertuduh dan mereka bertengkar berkaitan dakwaan bahawa warga emas itu membela toyol.

Pada masa sama, tertuduh didakwa mengeluarkan kata-kata ugutan terhadap mangsa sebelum warga emas itu membuat laporan di Balai Polis Senggarang kerana bimbangkan keselamatannya.

Susulan itu, polis menahan tertuduh pada hari kejadian untuk siasatan lanjut.

Berdasarkan rekod lampau, tertuduh pernah disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pada Mac 2020 kerana positif dadah, selain ditahan atas kesalahan sama pada September lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini