Tumpuan :
Jenayah

Ubat, Produk Kesihatan Tidak Berdaftar Dijual ‘Online’ Dirampas

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Johor merampas produk kesihatan serta ubat-ubatan tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bernilai RM1.13 juta.

Pengarahnya, Datuk Dr Aman Rabu berkata, rampasan dilakukan melalui Cawangan Penguatkuasaan Farmasi di Bahagian Perkhidmatan Farmasi Negeri Johor, hasil ‘Ops Nico’ yang dijalankan berdasarkan pemantauan ke atas sebuah premis di bandaraya ini pada 8 September lalu, susulan aduan orang awam.

Katanya, rampasan membabitkan 335 jenis produk ubat-ubatan dan produk kesihatan tidak berdaftar, dengan premis kediaman diserbu dijadikan stor untuk menyimpan stok barangan terbabit tanpa kelulusan KKM.

“Siasatan awal mendapati ubat-ubat dan produk kesihatan tidak berdaftar ini dijual secara berleluasa dalam talian melalui platform e-dagang.

“Siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Akta Jualan Dadah 1952 dan jika sabit kesalahan, pihak berkaitan boleh didenda sehingga RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan pertama dan didenda sehingga RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan berikutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Aman berkata, pihaknya sentiasa melakukan aktiviti penguatkuasaan bagi premis yang menjual produk kesihatan bagi bagi memastikan hanya produk berdaftar dan tulen dijual di pasaran.

“KKM menasihati orang ramai berhati-hati semasa membeli sebarang produk kesihatan.

“Pastikan produk kesihatan dan kosmetik dibeli di pasaran sentiasa mematuhi keperluan undang-undang dikuatkuasakan,” katanya.- HARIAN METRO

Loading...
Terkini