PADAWAN: Seorang wanita mengalami pendarahan pada mata kiri dan lebam pada kepala akibat ditumbuk suaminya yang mengamuk selepas ditegur membawa rakan menghisap dadah di rumah mereka.
Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Abang Zainal Abang Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira 1 tengah hari, Ahad lalu di rumah sewa mereka di Matang Jaya di sini.
“Ketika kejadian wanita berusia 23 tahun itu menegur suaminya membawa rakan datang ke rumah untuk menghisap dadah sehingga rakan suspek balik (keluar dari kediaman terbabit).
“Suspek marah dan bertindak agresif menumbuk mangsa berulang-ulang kali di kepala sehingga mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataannya, hari ini.
Susulan itu, Abang Zainal berkata, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Padawan menahan suspek yang berusia 26 tahun di rumah sewa terbabit, kelmarin.
Katanya, suspek yang juga penganggur itu kini ditahan di lokap Balai Polis Beratok untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.